Tuesday, March 12, 2013

Ujian ALLAH




Alhamdulillah, bersyukur ku kehadrat Ilahi kerana dengan kasih sayang-Nya ku di panjangkan umur dan diberikan sisa-sisa nafas untuk ku meneruskan perjalananku menuju hari akhirat.

Pada tahun ini ku berasa sangat-sangat bersyukur kepada Allah Taa’la kerana telah memakbulkan doa seluruh keluargaku untuk melihat adik ku bersekolah semula. Sememangnya ujian Allah itu tersirat 1001 rahsia yang sangat berharga. Di saat ujian menimpa terasa tidak mampu untuk menghadapi, namun pabila Allah telah memakbulkan doa hamba-Nya ujian tersebut terasa tersangatlah manis. Ujian pahit apabila menghadapi tetapi manis apabila sudah ditempuhi. Sebab apa?? Sebab Allah tidak akan menimpakan ujian yang tidak tertanggung untuk hamba-Nya tempuh, Allah hanya akan memberikan ujian yang sesuai dengan kemampuan hamba-hamba-Nya. Sungguh, Allah sayangkan kita J

Tahun ini merupakan semester yang terakhir bagiku. Lepas ni dah nak grad!! Insya-Allah, semoga Allah permudahkan… tapi banyak lagi assignment yang tak siap ni, dengan tesis lagi…huhuuu…

Biasa la kan, nama pun belajar. Mesti la banyak kerja ye tak? Kalau tak banyak kerja bukan belajar namanya…

But, now I ada satu cerita nak khabaq kat hampa semua..(awat cek cakap Kedah ni?)

Ceritanya, macam ni… hari tu duit PT dah masuk, so ku pun keluarkanlah untuk kegunaan ku di Uni ini. Guna untuk banyar duit sewa rumah, beli barang-barang rumah, beli buku (walaupun ada boucer)( beli buku dari pensyarah mana pakai boucer,hihhii) dan sebagainya lagi. Dan pada satu hari iaitu hari Sabtu, 27/2/2013 ku pun pergi pekan untuk keluarkan duit. Ku punya kad bank A tapi disebabkan ramai sangat kat bank A ni, ku pun pergi la ke bank B gunakan meps. (harap faham la ye guna nama samaran bank A dan bank B, maknanya bank lain-lain, hehe)

Ku masukan kad, tekan password, tekan jumlah yang dikehendaki dan mesin tu keluarkan kad ku semula dan…. Tup!!! Mesin ATM tu terpadam!! Black out!! Nasib baik kad sempat keluar, tapi duit tak keluar! Mesin tu dah berbunyi untuk duit keluar tapi tak sempat, huhhuuu…

Hurm, ku pergi ke ATM bank sebelah tapi black-out jugak. Rupa-rupanya satu blok bangunan tu ATM dia black out.

So, ku pun pergi la ke bank yang terletak di blok bangunan yang bersebelahan. Alhamdulillah, mesin ATM bank tu tak black out. So, ku pun buat perkara yang sama, macam orang selalu buat masa nak keluarkan duit dari bank la. Masukkan kad, tekan password, tekan jumlah dan kad dikeluarkan semula tunggu duit sehinnga keluar and ku tekan button No untuk resit baki sebab bank lain kan, bukan dia tunjuk baki pun.

Ku pun gunakanlah duit tu untuk banyak duit sewa rumah dan sebagainya (seperti yang telah diterangkan di atas)

Beberapa minggu selepas itu, ku pun pergi pasar malam hari Sabtu dan pergi bank untuk keluarkan duit. Kali ini ku tidak menggunkan meps tetapi guna bank ku sendiri iaitu bank A.

Akan tetapi, apabila ku keluarkan duit dan baki dalam akuan menunjukkan yang duit ku hanya tinggal RM 41!! and something (tak ingat berapa sen,huhu)

Ya Allah!! Biar betul??! Pada masa tu otak ku tidak dapat berfungsi dengan baik, dunia seperti berputar-putar, batu besar seperti menghempap kepalaku, tangan dan kaki seperti berada dalam peti ais (sejuk!!) menggigil…

Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni?? Kenapa duit tinggal banyak ni je?? Siapa yang keluarkan duit ku ni??

Nasib baik ada kawan ku sekali waktu tu. Kalau tak, tak tahu la ku tahu jalan balik rumah nanti, almaklumlah terkejut dugong la katakan..huhuuk..

Ku dan kawanku buat double cek, tengok lagi sekali. Mana la tau kot-kot ATM salah tulis baki ke.. akan tetapi ianya tidak dapat mengubah apa-apa. Ku kena terima kenyataan yang baki duit ku tinggal RM 41 !!!

Di takdirkan Allah, ada kakak pekerja bank yang bertugas pada hari itu (tugas luar kot) dan kami bertanya kepada beliau dan beliau menyuruh kami membuat penyata akaun keluar di mesin yang bersebelahan dengan mesin ATM (tak pasti apa nama mesin tu yang sebenar, huhu)

Dan… memang sah!! Pada penyata tu ada 2 kali pengeluarkan berlaku pada hari yang sama dan jumlah yang sama!!

Hari - 27/3/2013          Pengeluaran – RM 800

Hari – 27/3/2013         Pengeluaran – RM 800

Ya Allah, pada masa tu otak ku memang tak dapat berfungsi!! Jem!!

Ku istigfar, selawat dan baca pelbagai jenis zikir dan doa. Ya Allah, hanya pada-Mu tempatku berserah dan memohon.

Pada saat tu baru ku teringat tentang kejadian ‘ATM black out’ beberapa minggu sebelum ni. (cerita seperti yang telah diterangkan di atas)  

Kakak bank tu pun terangkanlah pada ku cara-cara untuk ‘meng-adakan’ semula duit ku di dalam bank dan perbetulkan baki akaun ku.

Cara yang nampak simple tapi…

Caranya, pergi buat laporan ke bank A dan bank B. selesai…

Sekiranya kes tu berlaku pada ATM bank kad ku sendiri (faham-faham la ye) tak lama pun kena tunggu, mungkin dalam beberapa hari je, tapi disebabkan ku menggunakan meps (bank lain) maka dengan itu ku terpaksa menunggu paling cepat satu bulan untuk duit tu masuk semula…

Pegawai bank B menasihati ku supaya tidak menggunakan meps sewaktu ‘Hari Gaji’ (istilah yang digunapakai). Almaklumlah, mesin pun macam manusia jugak, penat dan kadang-kadang boleh berlakunya black out.

So, dikesempatan ini ku menasihati kepada para pembaca yang sudi membaca post pada kali ini dengan nasihat yang sama yang digunakan oleh pegawai bank tu iaitu JANGAN MENGGUNAKAN MEPS SEWAKTU HARI GAJI. Wallahua’lam

p/s : Ujian dari ALLAH untuk mendidik diri ini supaya menjadi insan yang senantiasa bersabar dan berjimat.

Thursday, December 22, 2011

Jalan Perjuangan


Jalan perjuangan

Sentiasa dipenuhi dengan onak dan duri

Pelbagai cabaran dan dugaan perlu ditempuhi

Semuanya itu adalah untuk meraih redha Ilahi.

Jalan perjuangan, bukan mudah

Memerlukan hati yang tabah

Bisa bangkit walaupun rebah

Kerna yakin dan percaya Syurga itu tersangatlah indah

Jalan perjuangan

Adalah untuk menegakkan yang hak dan menghapuskan yang batil

Menaikkan kefahaman dan membuangkan yang jahil

Menukar dan memusnahkan kezaliman agar menjadikannya Adil

Jalan perjuangan, adalah jalan yang ku pilih

Tidak berpatah balik walaupun ku letih

Tidak gusar dengan tomahan walaupun ianya pedih

Akan tetap terus berjuang walaupun hanya baru bertatih

Jalan perjuangan

Akan tetap terus ku perjuang walaupun ku dibuang

Akan tetap terus mara kehadapan walaupun ku ditentang

Kerna ku yakin dan percaya, pertolongan dari Allah pasti akan datang


Saturday, October 15, 2011

Wahai Muslimah


Wahai Muslimah,

Seindah hiasan di dunia ini adalah Wanita Solehah,

Yang menjadi penyejuk di mata dan juga penenang di jiwa.

Namun,

Mengapa engkau tidak menghargai kurniaan Ilahi???

Mengapa kecantikan dirimu kau tunjuki dan megahi kepada lelaki ajnabi???

Wahai Muslimah,

Sedarlah, bahawa engkau membawa fitnah dunia,

Setapak kakimu melangkah ke luar rumah, seribu fitnah sudah menanti dirimu,

Kau haruslah berhati-hati dengan mainan duniawi,

Kau juga haruslah mempertahankan maruahmu daripada terus jatuh menyembah bumi,

Janganlah kau biarkan nafsu menguasai diri,

Kau tahu bukan, perkembangan arus kemodenan telah berjalan dengan pesatnya,

Segalanya berubah dengan begitu cepat,

Jauh sungguh perbezaan dahulu dan sekarang,

Begitu juga dengan dirimu,

Dahulu bajumu labuh, tidak jarang dan longgar, kini sudah ada yang nipis, jarang, singkat dan ketat,

Tudungmu yang dahulunya labuh, kini sudah singkat, berikat dan ada juga di kalanganmu yang membuangnya terus…..

Wahai Muslimah,

Engkau tahu, faham dan mengerti dengan jelas akan perintah serta suruhan ALLAH,

Kau juga pernah membaca, mempelajari, belajar dan dididik oleh ibu bapa serta guru-gurumu dengan ilmu agama yang sempurna,

Namun, mengapa tidak tergambar segala yang telah kau pelajari pada akhlak serta di dalam kehidupan seharianmu???

Adakah alasan yang kau akan berikan adalah kerana kau telah melupakan ilmu itu???

Mengapa kau tidak mempraktikkannya?!!

Mengapa kau tidak mengamalkannya?!!

Adakah kau merasakan bahawa ilmu itu tidak sesuai untuk digunakan pada zaman sekarang???

Tahukah kau bahawa, azab dan balasan yang lebih pedih akan kau perolehi kerana kau orang yang tahu tetapi tidak mengamalkannya...

Wahai Muslimah,

Kau tahu bahawa dunia ini hanyalah sementara,

Dunia ini, hanyalah tempat persinggahan,

Kau juga tahu bahawa, kehidupan yang kekal dan abadi adalah di akhirat kelak,

Adakah kau merasakan bahawa nikmat Syurga akan kau perolehi, sekiranya kau telah menggunakan nikmat itu di dunia ini lagi???

Ingatlah bahawa, ‘Dunia ini di ibaratkan seperti neraka bagi orang yang beramal soleh, dan dunia ini di ibaratkan seperti syurga bagi orang yang suka membuat kemungkaran’,

Persoalannya, yang mana satu ‘dunia’ mu sekarang???

‘syurga’ atau ‘neraka’???

Wahai Muslimah,

Mesti kau pernah mendengar pepatah Melayu ada menyebutkan bahawa,

‘Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang ke tepian, Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian’,

Begitulah juga, seharusnya yang kau perlu lakukan,

Biarlah kesusahan kau rasakan di dunia yang fana ini, asalkan nikmat kebahagiaan yang akan kau perolehi di Negara yang abadi.

Wahai Muslimah,

Diri ini bukanlah yang terbaik untuk menasihati,

Diri ini bukanlah yang sehebat untuk teguran diberi,

Hakikatnya, diri ini juga adalah manusia yang tidak pernah dapat lari dari melakukan kesalahan,

Namun, nasihat diberi bukanlah tanda membenci, akan tetapi ia adalah sebagai tanda diri ini amat mengasihani dirimu,

Ia juga adalah sebagai peringatan untuk diri sendiri

Wahai Muslimah,

Marilah kita mencari redha Ilahi,

Agar terpilih untuk menjadi Muslimah Sejati.

Alangkah Baiknya


Sesuka mana pun kita kepada seseorang itu, janganlah kita mengingatinya melebihi kita mengingati ALLAH s.w.t. Seminat mana pun kita kepada seseorang itu, janganlah kita menyebut-nyebut namanya melebihi kita menyebut kalimah Asma’Allahulhusna...kerana sidia sekadar manusia yang dicipta oleh DIA yang Maha Mencipta.

Alangkah baiknya jika kita sentiasa mengingati kematian yang boleh mendekatkan diri kita dengan ALLAH, tetapi pada masa sekarang ini, berapa ramaikah manusia yang sibuk mencari dan mengejar harta dunia? Berapa ramaikah manusia yang ‘sibuk’ melakukan segala macam bentuk maksiat untuk memuaskan hawa nafsu mereka?

Alangkah baiknya jika kita sentiasa menunaikan solat lima waktu di surau atau masjid disetiap kali azan berkumandang, tetapi manusia masa kini? Jangankan solat di surau atau di masjid, di rumah mereka sendiri pun jarang sekali!!! ‘Kaki’ dan ‘hati’ mereka lebih suka menghabiskan waktu di disko, pusat hiburan dan bermacam-macam lagi tempat yang boleh memberikan ‘ketenangan’ jiwa kepada mereka (kononnya), sedangkan surau atau masjid?! Seperti rumah yang tiada berpenghuni, dibiar usang dan kesepian.

Alangkah baiknya jika kita sentiasa membaca, menghayati dan memahami isi kandungan kitab suci al-Quran yang menjadi pegangan dan petunjuk kita, atau mempelajari ilmu-ilmu Hadis, ataupun ringankan langkah kita untuk meghadiri majlis-majlis ilmu yang bermanfaat kepada kita duniawi dan ukhrawi, tetapi umat Islam zaman ini?! Lebih berminat untuk ‘menghayati’ lagu-lagu yang mempunyai bait-bait kata tanpa makna, yang memuji pemudi dan memuja pemuda, yang boleh merosakkan akhlak dan juga minda. Mereka juga lebih ‘senang’ untuk menjejakkan kaki ke konsert-konsert yang sama sekali tidak mendatangkan kebaikan kepada mereka dan tidak mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan didalam ajaran agama Islam yang mulia untuk Hiburan. Sebuah kumpulan nasyid Malaysia iaitu kumpulan Raihan pernah mendendangkan lagu mengenai hiburan, mereka menyatakan bahawa, “Berhibur tiada salahnya, kerna hiburan itu indah, hanya pabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah”.

Jadi, apakah yang telah kita lakukan untuk membela agama Islam kita? Adakah kita mempunyai ‘penyakit’ yang tidak boleh diubati oleh mana-mana ubat pun di muka bumi ini??

Bukalah mata, bukalah minda dan buatlah sesuatu perkara yang boleh menyelamatkan maruah agama Islam. Biarpun sedikit usaha yang kita lakukan, sekurang-kurangnya kita akan mendapat ‘saham’ yang berharga untuk bekalan diakhirat kelak. Insya-ALLAH...

Wednesday, October 12, 2011

GaZa...



Gaza...Suatu masa dahulu sebuah negeri yang aman sentosa,

Kelihatan disana sekumpulan kanak-kanak yang sibuk bermain-main dengan riang gembira,

Sambil diperhatikan oleh ibu bapa mereka yang sedang duduk sambil berbicara,

Tetapi tanpa disedari, mereka sebenarnya sedang diperhatikan oleh sekumpulan manusia

yang dahagakan darah dan juga cemburu buta.



Mereka tidak mengenal apa itu erti kemanusiaan,

Mereka tidak tahu apa itu makna kedamaian,

Mereka juga suka akan permusuhan.



Mereka mengatur pelbagai strategi,

Untuk menghapuskan nyawa umat Islam di muka bumi ini.




Kehadiran mereka tidak diduga,

Membawa seribu macam! Keganasan,

Tidak mengenal tua atau muda.



Tanpa menggunakan sebarang senjata,

Tanpa menggunakan kemodenan yang ada,



Umat Islam hanya merempuh!!

Segala rintangan yang datang.



Tidak kira bom, pistol, senapang mahupun kereta kebal,

Mereka hanya ‘bersenjatakan’ batu ditangan,

Berbekalkan keimanan,

Kerna percaya, ALLAH tetap bersama mereka.



Nyawa seorang ibu tidak lagi berharga,


Hidup mati seorang ayah senang lenang dipersenda,


Warga tua sering menjadi mangsa,


Tangisan anak kecil takut...akan suasana.





Ya ALLAH...

Ya Tuhan kami...

Hanya KAU tempat kami meminta,

Hanya KAU yang ada,

Hanya KAU yang setia,

Hanya KAU dijiwa,

Tempat kami memanjatkan doa meluahkan rasa,

Nah umat Islam!!!

Apakah tindakan kita disini untuk membantu saudara kita disana?!!



Mereka disana bernasikan tanah, berlaukkan batu dan berulamkan pasir dijalan,

Sedangkan kita disini?!!

Bagaikan syurga dunia,

Petik jari, semua tersedia.


Marilah kita berpimpin tangan berganding bahu,

Kerana selagi nadi berdetik tidak berhenti,

Selagi sakaratulmaut belum menjemput kami,

Islam dihati, Islam disanubari,

Islam tiang yang kami pengangi, Kami julangi,

ALLAHUAKBAR!!!


Monday, October 10, 2011

Kasih dan Cinta Rasulullah s.a.w


Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Mari kita hayati bersama-sama.

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah.

“Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya.” Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku. Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

“Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia yang fana ini. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, namun pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. “Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,

“Siapakah itu wahai anakku?”

“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dan dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut,” kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, lalu Rasulullah menanyakan satu soalan, iaitu mengapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril.

Namun, itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.

“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

“Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?”Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

“Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.” Kata Rasulullah. Badan Baginda mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum”. Maksudnya, “Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.” Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

“Ummatii, ummatii, ummatiii” – “Umatku, umatku, umatku”

Maka, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai Rasulullah sepertimana Baginda mencintai kita umatnya?! Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi.

Betapa henbatnya cinta Rasulullah kepada kita. Sahabat-sahabat muslim sekalian, marilah kita renungkan kembali pengorbanan Rasulullah kepada kita umatnya, agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita, kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

Tanya diri kita, dalam satu hari berapa banyak kalikah kita berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w??!! Berapa jam kita khususkan waktu untuk mengingati Baginda?? Soallah hati kalian.

Rasulullah pernah berkata kepada para sahabat bahawa baginda amat merindui saudara-saudara (ikhwan) baginda. Para sabahabat merasa musykil, lalu bertanya. “Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?” Saidina Abu Bakar bertanya.

Rasulullah berkata. “Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku, tetapi bukan ‘saudara-saudaraku’ (ikhwan).”

“Kami juga juga ikhwanmu, wahai Rasulullah.” Kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara. “Saudaraku (ikhwan) ialah mereka yang belum pernah melihatku namun mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka amat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.”

Rasulullah juga menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ yang baginda maksudkan itu.

Rasulullah bertanya. “Siapakah yang paling ajaib imannya?”

“Malaikat.” Jawab sahabat.

“Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah? Sedangkan mereka sentiasa hampir dengan-Nya?” Jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian berkata lagi. “Para Nabi.”

Rasulullah menjawab. “Bagaimana para Nabi tidak beriman? Sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?”

“Mungkin kami.” Celah seorang sahabat.

“Bagaimana kamu tidak beriman, sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu?” kata Rasulullah.

“Jika begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui,” jawab salah seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

“Jika kamu ingin tahu siapa mereka. Mereka adalah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca al-Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku, namun tidak pernha berjumpa denganku.” Jelas Rasulullah.

“Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka,” ucap Rasulullah lagi setelah lama berdiam diri dan ada berbaur kesayuan pada ucapan itu.

Jadi, adakah kita tergolong dalam ‘ikhwan’ yang diperkatakan oleh Rasullullah tersebut? Mudah-mudahan kita termasuk di dalam kelompok ‘ikhwan’ tersebut. Insya-Allah.


Saturday, October 8, 2011

Bertemu Cinta-Nya


Solehah seorang pelajar yang baru menjejakkkan kaki di sekolah menengah agama ditempatnya. Dia sememangnya dibesarkan dan dididik sedari kecil lagi dalam kalangan keluarga yang amat mementingkan agama dan meletakkan Islam sebagai asas kehidupan. Minat yang mendalam untuk mempelajari ilmu agama diteruskan dan akhirnya dia berpeluang untuk mempelajarinya di sekolah menengah. Banyak perubahan yang berlaku keatas dirinya. Contohnya, dia sudah mula berjinak-jinak untuk memakai tudung labuh apabila keluar dari rumah, sebelum ini dia hanya memakai tudung segi labuh yang lerang 60 sahaja. Dia meneruskan pernutupan auratnya dan menyempurnakannya lagi, seperti memakai sarung kaki, sarung lengan, pakaian yang longgar dan tidak jarang.

Namun perubahan yang berlaku keatas dirinya itu tidak disenangi oleh segelintir kaum keluarga sebelah ibunya. Keluarga disebelah ibunya ini agak sosial sedikit, lebih mengikut kebaratan, tidak menghiraukan hukum hakam agama, tidak menjaga penutupan aurat, kurang menunaikan solat, bukan semua tetapi hanya segelintirnya sahaja, tetapi yang sedikit itulah yang membuatkan Solehah berat hati untuk pulang ke kampung. Dia pergi semata-mata kesiankan ibunya kerana itu kampung halaman ibunya, suka atau tidak dia mesti balik bersama juga.

Seorang sepupu Solehah yang bernama Munirah selalu memerlinya sekiranya keluarga Solehah pulang bercuti ke kampung dengan kata-kata yang memang tidak enak di dengar. Contohnya, “Eleh, ‘bajet’ alim, warak la tu, padahal saja je nak tunjuk-tunjuk kat orang”, kata-kata Munirah itu disambut dengan hilai ketawa sepupunya yang lain. Dalam hal ini, kesabaran yang tinggi haruslah dibina dan dipupuk untuk mengelakkan situasi menjadi lebih tegang lagi.

Bukan setakat itu sahaja Solehah dan adik-adinya seperti ‘dipulaukan’ oleh mereka, pernah satu hari Munirah memakan ‘asam mempelam’ bersama sepupunya yang lain, dan kemudian Solehah dan adiknya datang untuk memakannya bersama-sama, tetapi Munirah terus bangun diikuti oleh sepupunya yang lain dan meninggalkan Solehah dengan adiknya dalam keadaan yang terpinga-pinga. Solehah sangat sedih, air matanya seakan mahu mengalir, Solehah tidak tahu kenapa dia diperlakukan sebegitu, padahal dia tidak melakukan sebarang kesalahan. Kejadian itu disedari oleh ayah Solehah. Dia memanggil Solehah untuk pergi bersiar-siar disekitar kampung sambil memberi nasihat yang amat bermakna buat Solehah.

“Along tahu tak, masa Nabi Muhammad dimaki, dicerca oleh orang kafir Nabi buat apa?” Ayah Solehah menanyakan soalan itu, sebenarnya Solehah tahu jawapanya, tetapi membiarkan ayahnya menjawab.

“ Nabi, tak marah pun kat orang kafir, tapi Nabi juga tak membiarkan mereka sesat, Nabi tetap membimbing mereka untuk mengikut segala perintah ALLAH serta meninggalkan segala larangannya.” Solehah cuba memahami bait-bait kata yang dikeluarkan oleh ayahnya.

“Along pun mesti pernah dengar cerita tentang seorang perempuan yang hasad dengki dengan Nabi kan? Perempuan tu suka menghalang perjalanan Nabi, contohnya dia meletakkan duri di laluan Nabi berjalan, meletakkan sampah dan sebagainya lagi semata-mata untuk membuat Nabi sakit hati, tapi satu hari Nabi tidak diganggu oleh wanita tersebut, Nabi hairan. Nabi pergi kerumahnya dan mendapati wanita itu sedang mengerang kesakitan. Jika kita sebagai manusia biasa mesti merasa puas hati dan bergembira dengan keadaan perempuan yang menderita kesakitan tu kan, “Padan muka, buat jahat kat orang lagi, tu lah akibatnya”, mesti kata-kata yang sedemikian yang akan keluar dari mulut kita, tetapi kemuliaan dan kemurahan hati Nabi Muhammad s.a.w membiarkan dan mengendahkan serta melupakan segala perbuatan jahat yang telah dilakukan oleh perempuan itu, baginda menjaga dan merawatnya dan wanita itu memeluk agama Islam. Jadi pedoman yang ditunjukkan oleh Nabi itu, apalah salahnya jika kita mengikutinya, tak salah kan? Along, “Jika orang lain menaburkan bunga Tahi Ayam kepada kita, kita berikan pula bunga Ros kepada mereka.” Kata-kata ayahnya itu di ikuti dengan senyuman yang tersirat seribu satu makna.

Astrafirullahal a’zim... Solehah sedar yang dia telah melakukan kesilapan. Kata-kata ayahnya itu disimpan rapi di lubuk hati Solehah yang dalam. Dia sangat mengerti dan memahami apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu. Sejak dari itu, Solehah cuba untuk mendekati Munirah walaupun Munirah banyak kali mengelakkan diri darinya. Solehah tidak menghiraukan segala hasad dengki yang cuba dilakukan oleh Munirah.

Walaupun akhlak dan peragai Munirah itu sangat buruk dipandangan orang lain, tetapi jauh disudut hati Solehah mengatakan yang Munirah akan berubah suatu hari nanti dan Solehah selalu mendoa’kannya.

Oleh kerana Solehah duduk di asrama, dia jarang pulang ke kampung bersama-sama keluarganya dan dia juga kurang tahu akan perkembangan semasa yang berlaku pada keluarga sebelah ibunya itu. Satu hari ayah Solehah mengajak mereka sekeluarga pulang ke kampung ibunya, walaupun berat kaki Solehah untuk melangkah kerana memikirkan Munirah yang pasti akan menyakitkan hatinya, tetapi kata-kata ayahnya itu dipegang dan dia akan cuba mengharunginya lagi.

Sebelum mereka keluar dari kereta, ayah Solehah memberitahu satu perkara.

“Along, ada hadiah untuk along kat dalam”

Solehah terpinga-pinga, ‘Hadiah? Hadiah apa yang di maksudkan oleh abah?’

Setelah mereka bersalam-salaman, Solehah duduk di suatu sudut. Dia memikirkan kata-kata ayahnya tadi. “Hadiah? Apa? Tak ada apa-apa pun..” sambil memandang keadaan sekeliling.

Tiba-tiba, tangannya di tarik oleh seseorang masuk ke dalam bilik yang berhampiran dengannya. Solehah terkejut yang teramat sangat kerana Munirah, sepupunya itu telah berubah 100%. Penampilan Munirah sangat berbeza dengan sebelum ini. Dia sekarang dihadapan Solehah, telah memakai jubah, tudung labuh, sarung kaki, sarung lengan dan sangat mencirikan wanita Islam!!!

“Along, akak minta maaf sebab selama ini akak banyak menyakitkan hati along, akak dengki dengan along, akak tak suka dengan cara pemakaian along, dan sebelum ini akak jauh dengan ALLAH!! Akak berdosa, akak banyak buat dosa...” tidak semena-mena air mata Solehah turut mengalir mendengar segala penjelasan dan segala penyesalan dari Munirah.

Ya ALLAH...ALHAMDULILLAH...terima kasih ya ALLAH...ini adalah ‘hadiah’ yang paling bermakna untuk ku..terima kasih ya ALLAH..

Solehah amat bersyukur sekali, dia tertanya-tanya mengapa Munirah boleh berubah secara mendadak begini. Munirah menceritakan segala-galanya. Dia sekarang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian Islam di kawasannya. Institut tersebut memang mementingkan prinsip-prinsip Islam. Pada mulanya Munirah ingin keluar dari institut tersebut, tetapi dia tidak tahu mengapa hatinya ingin tetap terus berada disitu.

Inilah kekuasaan ALLAH Taa’la, DIA akan memberikan hidayah dan petunjuk-NYA kepada sesiapa yang mencarinya. Walaupun sebelum ini Munirah seteruk-teruk manusia sekalipun tetapi jika dia bertaubat ALLAH pasti mengampunkan segala dosa-dosanya, kerana ALLAH itu Maha Penerima Taubat.

Kita juga harus ingat, ALLAH itu tidak melihat permulaan hamba-NYA, tetapi DIA melihat apa yang akan terjadi di pengakhiran hidupnya. Jadi, persoalanya disini, bilakah permulaan kita, dan bagaimanakah pengakhiran kita? Adakah apabila rumah kata pergi kubur kata mari?! Atau adakah kita mahu menunggu usia sudah lanjut kerana memikirkan mati itu hanya untuk orang tua?!

Maka fikir-fikirkanlah...