Saturday, October 15, 2011

Wahai Muslimah


Wahai Muslimah,

Seindah hiasan di dunia ini adalah Wanita Solehah,

Yang menjadi penyejuk di mata dan juga penenang di jiwa.

Namun,

Mengapa engkau tidak menghargai kurniaan Ilahi???

Mengapa kecantikan dirimu kau tunjuki dan megahi kepada lelaki ajnabi???

Wahai Muslimah,

Sedarlah, bahawa engkau membawa fitnah dunia,

Setapak kakimu melangkah ke luar rumah, seribu fitnah sudah menanti dirimu,

Kau haruslah berhati-hati dengan mainan duniawi,

Kau juga haruslah mempertahankan maruahmu daripada terus jatuh menyembah bumi,

Janganlah kau biarkan nafsu menguasai diri,

Kau tahu bukan, perkembangan arus kemodenan telah berjalan dengan pesatnya,

Segalanya berubah dengan begitu cepat,

Jauh sungguh perbezaan dahulu dan sekarang,

Begitu juga dengan dirimu,

Dahulu bajumu labuh, tidak jarang dan longgar, kini sudah ada yang nipis, jarang, singkat dan ketat,

Tudungmu yang dahulunya labuh, kini sudah singkat, berikat dan ada juga di kalanganmu yang membuangnya terus…..

Wahai Muslimah,

Engkau tahu, faham dan mengerti dengan jelas akan perintah serta suruhan ALLAH,

Kau juga pernah membaca, mempelajari, belajar dan dididik oleh ibu bapa serta guru-gurumu dengan ilmu agama yang sempurna,

Namun, mengapa tidak tergambar segala yang telah kau pelajari pada akhlak serta di dalam kehidupan seharianmu???

Adakah alasan yang kau akan berikan adalah kerana kau telah melupakan ilmu itu???

Mengapa kau tidak mempraktikkannya?!!

Mengapa kau tidak mengamalkannya?!!

Adakah kau merasakan bahawa ilmu itu tidak sesuai untuk digunakan pada zaman sekarang???

Tahukah kau bahawa, azab dan balasan yang lebih pedih akan kau perolehi kerana kau orang yang tahu tetapi tidak mengamalkannya...

Wahai Muslimah,

Kau tahu bahawa dunia ini hanyalah sementara,

Dunia ini, hanyalah tempat persinggahan,

Kau juga tahu bahawa, kehidupan yang kekal dan abadi adalah di akhirat kelak,

Adakah kau merasakan bahawa nikmat Syurga akan kau perolehi, sekiranya kau telah menggunakan nikmat itu di dunia ini lagi???

Ingatlah bahawa, ‘Dunia ini di ibaratkan seperti neraka bagi orang yang beramal soleh, dan dunia ini di ibaratkan seperti syurga bagi orang yang suka membuat kemungkaran’,

Persoalannya, yang mana satu ‘dunia’ mu sekarang???

‘syurga’ atau ‘neraka’???

Wahai Muslimah,

Mesti kau pernah mendengar pepatah Melayu ada menyebutkan bahawa,

‘Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang ke tepian, Bersakit-sakit dahulu, Bersenang-senang kemudian’,

Begitulah juga, seharusnya yang kau perlu lakukan,

Biarlah kesusahan kau rasakan di dunia yang fana ini, asalkan nikmat kebahagiaan yang akan kau perolehi di Negara yang abadi.

Wahai Muslimah,

Diri ini bukanlah yang terbaik untuk menasihati,

Diri ini bukanlah yang sehebat untuk teguran diberi,

Hakikatnya, diri ini juga adalah manusia yang tidak pernah dapat lari dari melakukan kesalahan,

Namun, nasihat diberi bukanlah tanda membenci, akan tetapi ia adalah sebagai tanda diri ini amat mengasihani dirimu,

Ia juga adalah sebagai peringatan untuk diri sendiri

Wahai Muslimah,

Marilah kita mencari redha Ilahi,

Agar terpilih untuk menjadi Muslimah Sejati.

No comments:

Post a Comment